Siapa yang tidak pernah rasa sedih? Siapa yang tidak pernah kecewa?
Rasulullah S.A.W sendiri pernah rasa kecewa dan pernah berada
dalam keadaan yang sangat sedih. Setiap orang pernah diuji dengan
pelbagai dugaan berbentuk perasaan. Sedih, resah, adakalanya gembira dan
ketawa dan pastinya tidak mampu terlepas dari perasaan kecewa juga.
Kecewa?
Satu perasaan di mana hadirnya mungkin kerana sesuatu yang diinginkan
tidak dapat dimiliki seperti yang dibayangkan. Mungkin juga kecewa
kerana kehendak hati tidak dapat dipenuhi.
Pernahkah anda mengalami situasi seperti ini?
"Aku sudah penat berdoa, tetapi Allah tidak pernah memakbulkan doa dan permintaanku. Aku sudah penat!"
Putus asa?
Ya, jelas sekali rasa putus asa yang terzahir dari situasi di atas.
Kadang-kadang sepertinya kita menyalahkan takdir pula. Sedangkan Allah
mengatur segalanya sesuai dengan keperluan dan kebaikan hamba-Nya.
Kerana hanya Pencipta tahu apa yang diperlukan dan terbaik untuk
ciptaan-Nya. Kadang-kadang apa yang kita mahukan tidak semestinya baik
untuk kita, dan banyak pula perkara yang tidak kita senangi itu
sebenarnya adalah baik untuk kita.
Sebagaimana penegasan Allah dalam kitab-Nya yang mulia al-Quran:
"Boleh jadi kamu membenci
sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu
menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang
kamu tidak Mengetahui." (Surah al-Baqarah:ayat 216)
Persoalannya, wajarkah kita untuk kecewa? Kecewa itu fitrah perasaan.
Tetapi bagaimana pula kiranya kalau kekecewaan itu menyebabkan kita
berani menuding jari menyalahkan takdir ketentuan Allah?
Mungkin ramai di antara kita
frust bila setiap yang
diimpikan tidak menjadi kenyataan. Lalu, kita kecewa dan sedih. Kita
berdoa tetapi tidak kesemuanya ditunaikan. Kecewakah? Nanti dulu,
sahabat. Tanyalah pada diri. Bukankah setiap yang kita miliki saat ini
tidak semuanya kita minta daripada Allah.
Tapi Allah dengan murah hati memberi sebelum kita minta. Allah tetap
mengurniakan tanpa kita mengajukan kemahuan tersebut kepada-Nya.
Pernahkah kita minta pada Allah untuk dikurniakan oksigen agar kita
dapat kita bernafas? Adakah kita setiap hari meminta izin daripada Allah
untuk menggunakan kaki, tangan dan lain-lain anggota? Adakah kita
pernah minta supaya Allah meminjamkan mata untuk melihat dan mulut untuk
bercakap pada setiap hari? Besar kemungkinan jawapannya tidak, bukan?
Jadi mengapalah berkira andai baru sekali kita dibiarkan merasa
kecewa. Bukankah ujian itu tanda sayangnya Allah pada hamba-Nya? Sebelum
kecewa, nanti dulu. Berhentilah dan cubalah untuk berfikir kembali.
Kenanglah segala nikmat yang Allah berikan sehingga tidak mampu kita
kira apatah lagi untuk menyukatnya. Jangan hanya kerana kecewa, anda
sudah terfikir untuk melakukan perkara yang bukan-bukan atau membunuh
diri!
Jadi, tapislah kekecewaan kita supaya jangan kita melampaui batas
dalam melayan rasa itu. Kekecewaan yang bermanfaat ialah kekecewaan yang
membawa diri dan hati kita lebih dekat dan menyayangi Allah. Kekecewaan
yang membahagiakan ialah di saat kebahagiaan itu berjaya mengukuhkan
keyakinan hati kita dalam mengimani qada' dan qadar Allah.
Janganlah bersedih dan kecewa kerana di sebaliknya tersimpan kebahagiaan yang Allah hadiahkan sebagai hikmah-Nya.
petikan dari ilovislam